Generasi Buku (GB)
Oleh Tuah Sujana
Rumput tinggi lalang memanjang,
Dikerat orang di tengah taman;
Kita dagang teruskan berdagang,
Ilmu ditumpang buat pedoman.
Generasi buku merupakan suatu kelompok yang kerap diuar-uarkan sejak akhir-akhir ini. Kita pun tahu inilah satu-satunya benteng yang boleh dipertaruhkan untuk meninggikan kedudukan masyarakat. Alau boleh diumpamakan golongan ini seperti tentera yang menjadi pertahanan negara. Bezanya, tentera itu berada dalam konteks logistik dan ketahanan fizikal.
Hal ini sangat diharap-harapkan dalam situasi sekarang. Masih banyak soal-soal yang berlegar tanpa jawapan. Masih banyak perkara yang belum dilaksanakan. Penyelesaiannya? Bagaimanakah cara untuk menyelesaikan kegentingan budaya membaca dalam kalangan masyarakat khususnya remaja?
Elok kita pecahkan situasi ini kepada tiga keadaan. Semuanya kait-mengait antara satu sama lain. Pertama, rasional kewujudan generasi buku. Kedua, faktor mengapa masyarakat mengatakan “tidak” untuk misi ini. Dan ketiga, masalah yang timbul jika dapat dilaksanakan serta jalan penyelesaian.
APA RASIONALNYA GENERASI BUKU?
Rakan-rakan saya, guru, pengetua, profesor, malah tukang kebun dan mak cik kantin sekalipun tidak dapat tidak pasti akan berdamping dengan buku dalam cara apa sekalipun. Saya rangkumkan ini dalam institusi pendidikan. Sama sahaja seperti institusi lain, tetapi molek jika kita kembali kepada skop pendidikan kerana di sini ada rebung untuk dilentur.
Setiap dasar atau langkah yang dibuat perlu diteliti sebelum dilaksanakan kerana dengan serta-merta sahaja hal itu boleh mengubah budaya. Mungkin ke arah yang lebih baik, tetapi boleh sahaja menjadi semakin negatif.
Dan apabila bercakap soal buku, gandingannya ialah ilmu. Dan gandingan ilmu tetap satu iaitu amal.
Keunggulan ilmu merupakan hujah yang sangat dominan untuk diketengahkan oleh semua pihak dalam usaha memperkasa generasi rabbani seterusnya memacu kegemilangan ummah. Proses ketamadunan melibatkan banyak perkara signifikan termasuklah melangkaui sempadan pengetahuan yang masih berada di takuk lama. Bangsa Romawi terkenal dengan sistem perundangan, bangsa Yunani cukup dikagumi kerana kepelbagaian teori falsafah, dan sejarah turut mencatatkan negara Iraq sebagai gedung ilmu dunia beberapa abad lalu kerana memiliki karya-karya agung yang mencakupi semua disiplin ilmu.
Ini boleh dijadikan rasional, misi, atau visi betapa perlunya Malaysia mewujudkan generasi buku ini terutamanya para remaja yang semakin tidak munasabah gayanya dewasa ini. Ada yang membawa motosikal semacam jongkang-jongkit. Lebih teruk macam lembu kenyang berjalan.
KONSEP SENIOR-JUNIOR & MENTOR-MENTEE
Salah siapa sebenarnya? Nak salahkan diri sendiri? Itulah yang biasa sangat kita dengar. Mengapa salahkan diri sendiri sedangkan kita tak tahu? Maka di sini timbul pula soal “memandu”. Satu panduan perlu dilengkapkan segera. Kalau di sekolah berasrama penuh, ada istilah senior-junior. Inilah yang kita mahukan.
Yang sudah tahu selok-belok dunia buku boleh memandu adik-adik kecil yang masih belum mengerti apa itu buku. Atau sudah tahu tapi masih tercari-cari bahan yang sesuai. Konsep ini sebenarnya sudah lama bertapak dalam dunia Islam. Sejak penurunan al-Quran 1400 tahun lampau. Ada seorang tokoh dalam bidang ini. Namanya Luqmanul Hakim.
Fikirlah dalam tempoh terdekat ini. Bagi saya pula, secara peribadi lebih menggemari konsep senior-junior atau mentor-mentee dalam dunia perbukuan. Jawab peperiksaan pun senang kalau dah ada orang yang bimbing. Tak begitu?
Pada hari ini, umat Islam begitu mudah untuk ditindas juga dimonopoli sesuka hati oleh kaum kuffar. Sumber alam dan sumber manusia nyata telah dieksploitasi sewenang-wenangnya berdasarkan dakwaan-dakwaan yang tidak relevan malah dangkal sama sekali. Banyak faktor yang mempengaruhi keadaan ini, secara harfiah, kerana ketiadaan generasi pelapis yang iltizam dengan pegangan syariah. Kepentingan holistik diabaikan sedang budaya hedonisme dipantakkan melalui pelbagai saluran. Hal inilah yang memerlukan penguasaan ilmu, apatah lagi penciptaan manusia sebagai khalifah di muka bumi dengan sebaik-baik kejadian.
Kalaulah dapat direka jam penggerak masa, antara yang saya mahu saksikan ialah kehidupan generasi pada tahun-tahun kemudian. Apa terjadi 10 tahun lagi misalnya. Macam mana budayanya. Saya tak dapat bayangkan kalau sudah jalan raya pada masa itu pun macam balapan kejar-mengejar, pemandunya pula kanak-kanak 5 tahun berambut merah-kuning-hijau. Huh, apa nak jadi?
SENARAI MASALAH & PENYELESAIANNYA : SATU DIALOG
(Si Anu dan Si Anu)
Kalau kecanduan buku macam mana?
Candu? Haha itukan bagus. Haram ke kalau dah mabuk buku? Ini semangat biblio. Kau tak baca buku-buku Pak Shaharom TM? Baca jangan tak baca. Banyak sangat istilah-istilah. Cumanya engkau telan saja. Hadam baik-baik.
Kalau generasi buku ini akan wujudkan puak macam mana? Tak ke jadi Arab Badwi?
Haha lagi kritis engkau. Memang aku pun fikir ini masalah sekarang. Kalau wujud satu organisasi akan ada persaingan bodoh. Rumah kau ada internet kan? Dan kau pun minat sangat berjalan. Eloklah. Mari aku cakap cara yang cun dan kelas profesional. Wujudkan 2 perbincangan secara 2 hala. Online dan offline serentak. Baru nampak budaya sihat. Tak gitu?
Tak ke sampai budak-budak tinggalkan buku teks sebab tergilakan buku-buku ilmiah? Ha, bahaya tu!
Jawapan : Apa pulaknya? Ini soal biasa tapi penting. Pertama individu itu kenalah tahu jalan yang nak dilalui. Kedua pihak berwajib. Serapkan saja dasar ke sekolah-sekolah untuk perbincangan buku-buku. Taklah engkau tu makan buku teks, tidur buku teks, mandi buku teks.
Yang terima anugerah NILAM itu generasi bukulah?
Isy ... itu sebabnya kau tak faham. Apa NILAM? Buat apa aktiviti itu? Macam resensikan? Anugerah tu kira macam mana? Berdasarkan jumlah buku yang dibaca. Salah tu. Yang sepatutnya lebihkan anugerah kepada sumber yang dibaca. Atau cara pembacaan paling menarik ke. Kita mesti tukar ni. Taklah orang yang baca akhbar nyamuk pun boleh menang. Tak adil tak adil.
Kalau geneasi buku tu gila sangat pada buku sampai tinggalkan ibadah macam mana? Tak ke kau yang nak bikin konsep ni tanggung dosa?
Ha, itulah yang aku sebutkan. Yang penting sekarang bukan bilangan tapi apa yang dibaca. Kalau dah betul bahan yang dipilih, betullah gaya hidup. Semua buku yang betul ialah buku yang berdasarkan al-Quran, hadis, ijmak ulama, dan kias. Hah, jadinya apa nak timbul-timbul alasan tidak mahu beribadah sebab gila buku?
Bila mahu mulakan generasi ini?
Sekarang. Selewat-lewatnya pun dalam dua tiga tahun ini. Kalau sudah selepas itu, kita sudah dikira terlambat.
Hendak mulakan bagaimana?
Semua kena mainkan peranan. Mula-mula ubah sikap dahulu. Biar mesra dengan buku. Anggap buku sebagai teman terbaik.
MARI BINA KESIMPULAN
Kalau hendak disenaraikan memang banyak. Banyak lagi sub-sub yang boleh dikategorikan di bawah satu topik iaitu Generasi Buku ini. Apa pun, rasanya tak guna berteori sahaja. Lebih baik cenderung kepada pembinaan amali itu sendiri.
Rasanya boleh tak GB (generasi buku) ini diwujudkan di Malaysia?
Boleh tak?
Kita dah daki Everest. Kita dah pergi Antartika. Dah harungi Selat Inggeris. Dah belayar solo. Dan buat macam-macam. Macam-macam ada. Takkan nak wujud GB tak boleh?
Kawan-kawan, jangan asyik tak kisah saja. Kali ini mesti kisah.
2 comments:
ehm.. Ia berckap tentang "kita mesti", tetapi bagaimana? kempen dah dilancarkan, cikgu dah sarankan, tapi macam mana nak memupuk sesuatu budaya yang memang asing kepada kita Melayu ni? Of course, cadangan2 yang agak baik, tapi perlu disebarkan dengan lebih luas. selamatkan minda2 kita daripada bacaan "sampah" seperti majalah Remaja dan seumpamanya..
May Allah be with you..
Terima kasih kak...
Mohon tunjuk ajar ya...
Kritik yang pedas2 tau..
hehe
Post a Comment