Naluri mendorong rindu
Jiwa berbisik, mengundang asyik
Segalanya bergulir, mengelabui mata hati
Berkecamuk perasaan insani
Kusedar
Cinta mula memekar
Namun batasan waktu menduga
Seteguh mana keimanan kita
-----------------
Aku insan khilaf ya Allah,
Berkahilah kami....
Aku bersaksi marsum ini bukan sekadar mengisi kosong ilusi. Ayuh bersama-samaku! Kita reguk cinta Ilahi. Kita telusuri agama suci.
Thursday, December 13, 2012
Tuesday, December 11, 2012
Akukah Mujahidah Itu [Episod 5]
KEPULANGAN
Hari
ini, sudah sembilan hari saya pulang ke kampung halaman setelah dua tahun
merantau dinegeri orang, Sydney. Alhamdulillah.
Udara
hangat menyapa tubuh saat menjejakkan kaki di bumi Kelantan. Kelihatan Ummi, Abah
dan adik-adik sudah menanti di ruang menunggu Lapangan Terbang Kota Bharu. Saya
tidak mampu membendung rindu, lalu saya dakap setiap tubuh satu persatu. Rindu
teramat! Terima kasih ya Allah.
Pulang
ke rumah, tidak banyak yang berubah kecuali bilik baru yang sudah dihias indah.
Kata ummi, itu bilik pengantin. Manalah tahu jika ada anak-anaknya yang bakal
bersanding. Saya tersenyum. Ummi tidak pernah berubah, suka mengusik
anak-anaknya seperti dulu. Saya menjengah ke kamar saya yang sudah lama
ditinggalkan. Kemas! Segalanya tersusun. Saya pandang adik-adik perempuan saya.
Saya yakin, merekalah yang mempersiapkan semuanya. Terima kasih adik!
Penat
yang dirasakan dalam waktu penerbangan mula hilang. Mungkin kerana terlalu
gembira dapat kembali kepangkuan keluarga. Saya tatap tampang abah yang semakin
kurus. Namun sikap abah yang pendiam tetap menjadi ingatan rindu buat saya.
Diam abah sering beerti. Setiap kata-kata yang terbersit dari mulut abah, lebih
beerti. Sedikit demi sedikit perpisahan sementara antara kami mengajar saya
erti menghargai.
SEMAKIN
DEWASA
Adik-adik
saya semakin dewasa. Perilaku dan tutur
kata mereka matang sekali sehinggakan saya terpana seketika. Adakah saya
terlepas saat-saat indah bersama mereka? Entah mengapa hati saya sayu sekali.
Saya seorang kakak, yang hadir saat mereka sudah siaga untuk menempuh hidup. Namun
lamunan saya tidak lama apabila Allah memperlihatkan saya satu episod baru
dalam kehidupan.
“Hana,
basuh pinggan kat dapur!”
“Amin,
cuci tangga kat luar!”
“Asilah,
tolong ambil lengkuas untuk ummi,”
Saya
terdiam lagi. Saya sebenarnya menunggu-nunggu Ummi menyuruh saya tetapi, tiada.
Berkali-kali saya menelan liur. Terasa ada sesuatu yang mengacah-acah nurani
apabila melihat adik-adik melakukan tugasan tanpa membantah, seolah-olah sudah
tahu peranan masing-masing.
Saya
tidak fikir Ummi melupakan saya. Saya tidak fikir begitu. Hiba terasa, melihat
peranan saya sendiri semakin berkurangan untuk keluarga. Tanpa sedar, saya
menangis sendiri. Luluh, jiwa saya luluh. Adik-adik saya yang mulia, mengisi kekosongan
jiwa Ummi dan Abah. Dan saya, terus-terusan menyoal diri adakah saya ini
seorang anak dan kakak yang baik untuk keluarga.
Saya
harus melipatgandakan peranan saya sebagai anak dan kakak. Saya mesti! Saya
tidak mahu mensia-siakan waktu yang berbaki. Mereka hidup dalam kerinduan
selama ini dan saya pasti, mereka berusaha menjaga perasaan saya saat saya
kembali.
Masa
yang telah saya pergunakan di Sydney selama dua tahun, akan cuba saya tebus
dengan hamparan cinta dan bakti. Ya Allah, kuatkanlah hati ini.
BUKAN
MATERI
Anak,
tugasnya menjadi soleh dan solehah. Apalah ertinya pelajaran setinggi awan
tetapi adab terperosok ke perut bumi. Anak, belajarlah menghargai orang tuamu.
Percayalah, tiada siapa yang akan menyayangimu seluas kasih mereka. Anak, lihat
kembali adakah pernah kau menyakiti mereka? Adakah pernah kau membelakangkan
mereka saat sebuah keputusan diputuskan? Adakah pernah kau terfikir betapa
tingginya kesabaran mereka untuk melihat kau dewasa?
Bukan materi yang mereka harapkan, percayalah! Mereka hanya ingin melihat kau bahagia, selamanya.
Wednesday, November 28, 2012
Setelah 3 tahun tidak mengarang puisi
kata yang sedang kususun
bercempera pelbagai hala
gerak jiwa memintaku bangun
dari sebuah daerah lesu
dan mara mencariMu
aku, yang merasa kesempurnaan
rupanya palsu, tiada yang benar
dalam lingkungan dusta
ketenangan sirna, tanpa cinta
dan Tuhan tidak kejam
bila nikmat terus mengalir
walau tangan tidak menadah
hati menolak seru hidayah
Sunday, October 21, 2012
Akukah Mujahidah Itu [Episod 4]
CUACA TAK
TERJANGKAKAN
SAYA masih bergelut
dengan perubahan cuaca yang tidak menentu sementelah musim luruh makin
menghampiri. Rintik hujan datang sekejap-sekejap dan kemudian timbul matahari
memanaskan bumi. Jaket yang dipakai ditanggalkan tetapi beberapa jam kemudian
angin berpiuh dingin dan meresap ke tulang. Jaket dipakai semula. Begitulah
Sydney dalam permainan cuaca yang tidak terjangkakan. Namun atas penerangan
dari kakak-kakak senior, peralihan musim selalunya merupakan antara faktor
cuaca berubah-ubah sepanjang hari. Namun saya pasti Tuhan sudah merencanakan
sesuatu yang bermakna buat hambaNya. Terpulang pada hamba-hambaNya sama ada
mahu ikhlas menerima kehidupan dengan cara yang mereka pilih.
Hari ini saya
berjalan kaki ke pusat membeli-belah Macquarie Center yang terletak agak jauh
juga dari Macquarie Village dimana terletaknya rumah saya disitu. Berjalan kaki
menelusuri rumah-rumah berbata merah disepanjang lorong-lorong kecil yang
dipenuhi dengan daun-daun mapel kering itu menerbitkan satu ketenangan dalam
jiwa. Sengaja saya perlahankan langkah
untuk melihat longgokan daun-daun mapel kering yang sudah pun berwarna coklat
pekat. Serasa seperti dalam filem Mohabbatein pula.
PENGGUNA JALAN RAYA
Saya terus berjalan sehingga bertemu jalan raya. Tanpa diarah, saya
berhenti dipinggir jalan dan melihat kiri dan kanan. Jangkaan saya seperti
biasa yang biasa dilakukan di Tanah Air tercinta. Pejalan kaki akan menunggu
kereta melepasi mereka sebelum melintas, apatah lagi jalan raya yang tidak
mempunyai lampu isyarat. Namun hari itu saya seakan terpaku seketika apabila
kereta yang dipandu dijalan raya Australia berhenti dan memberikan laluan .
Biarlah lambat atau cepat manapun kita berjalan, pemandu akan menunggu sehingga
semua pejalan kaki selamat sampai keseberang.
Mungkin ada yang akan berkata begini,
“Bukankah itu sistem, mestilah rakyatnya akan patuh!”
“Alah, itu sebab mereka sudah biasa,”
“Ingat mudahkah hendak beri jalan kepada orang? Nanti yang lain pijak
kepala,”
Jika kerana sistem, adakah kita semua akan benar-benar mengikut sistem
jika ia diimplimentasikan? Kenapa harus dipersoalkan kebiasaan atau bukan
kebiasaan orang setempat untuk melakukan nilai-nilai murni apatah lagi
nilai-nilai Islami? Kenapa perlu risaukan orang lain menganiaya kita andai kita
berbuat kebaikan di jalan raya atau dimana sahaja sekalipun?
Saya berpeluang memandu kereta di sekitar Sydney dan Melbourne sepanjang
kembara di bumi Selatan.
Subhanallah! Rasa
sungguh selamat sekali hingga tidak tersedarkan saya sedang memandu di sebuah
bandar besar dalam negara asing. Pemandunya sungguh bertoleransi. Tidak ada
situasi berbalas-balas hon malah sungguh ramai yang baik hati memberikan jalan
jika ada yang memberi signal.
Saya masih ingat ketika
memandu berhampiran dengan kawasan Kingsford bersama sahabat-sahabat. Waktu itu
jam sudah menunjukkan pukul sembilan malam. Sahabat-sahabat yang turut bersama
panik tiba-tiba kerana GPS yang kami gunakan tidak berfungsi. Pemanduan saya
jadi tidak tentu hala. Kebimbangan mula bercambah kerana laluan untuk kembali
ke Macquarie masih jauh.
“Allah! Kenapa semua
kereta menghala ke arah bertentangan?” peluh dingin merenik di dahi saya.
Sahabat baik saya, Izzaty menoleh-noleh ke luar tingkap kereta.
“Ini jalan sehala!
Bahaya, berhenti Aini. Pusing balik, pusing balik!” Izzaty separuh menjerit.
Saya menarik nafas dalam-dalam. Tangan saya menggeletar. Kebimbangan berlaku
kemalangan dan ketakutan dimarah pengguna jalan raya lain berselirat dalam
kepala saya setelah peka kereta itu kami sewa bersama-sama.
“Allah, kalau tidak
berhenti bahaya. Kalau berhenti tiba-tiba pun bahaya. Apa yang harus aku buat?”
saya hampir menangis. Saya mula membayangkan bunyi-bunyi hon yang kuat dan
kata-kata kesat.
SANGKAAN MELESET
“Eh!” dahi saya berkerut
apabila kereta dihadapan dan dibelakang kereta kami memberikan isyarat
berhenti. Jalan yang sesak itu menjadi kaku seketika, seolah-olah menunggu saya
untuk membuat pusingan agar keluar dari jalan sehala itu.
Cepat-cepat saya membuat
pusingan dan mengangkat tangan tanda terima kasih setelah selesai melakukannya.
Tiada riak marah pun pada wajah mereka. Betapa leganya hati saya ketika itu.
Teingat saya ketika
memandu bersama Abah di Malaysia ketika pulang bercuti musim panas. Saya memandu
seprti biasa hinggalah sebuah kenderaan dari lorong sebelah kanan memberi
isyarat hendak keluar. Kereta-kereta dari arah saya bertali-arus tanpa henti. Saya
tebak si pemandu mungkin sudah lama menunggu. Tanpa dipinta, saya memperlahankan
kereta dan memberi lalun kepada kereta itu. Mungkin kerana sudah terbiasa
dengan budaya jalan raya di Sydney, saya berbuat demikian. Pemandu kereta itu
berpaling ke arah saya dan Abah lalu melemparkan senyuman.
Saya sudah menjangka,
Abah mempersoalkan tindakan saya. Saya menerangkan kepada Abah tentang suasana
jalan raya di Sydney dan Abah mengangguk-angguk lama.
“Ini Malaysia along,
susah kalau kita seorang sahaja yang berfikir begitu sedangkan orang lain
tidak,” saya teliti setiap kata-kata Abah.
Abah tidak bersalah. Dia
punya sebab untuk berujar seperti itu sementelah dia lebih banyak makan garam
berbanding saya. Tetapi adakah kita, yang menggelarkan diri sebagai pendakwah,
pencinta ilmu dan pelakar transformasi mahu membiarkan pemikiran kita terjajah
oleh budaya negatif seperti ini dan selama-lamanya mengenepikan nilai-nilai
Islami dalam kehidupan sehari-hari?
Teman-teman, dibumi ini
kita berpijak dan perjuangkanlah Islam dari segenap sudut yang tersedia,
sistemnya, budayanya, orangnya, ayuh kita usaha!
REALITI YANG MENAKUTKAN
Sewaktu singgah untuk
mengisi tangki minyak kereta di sebuah stesen minyak di Newcastle, saya dan sahabat-sahabat
mengambil peluang membeli minuman untuk membasahkan tekak yang kering setelah
menempuh perjalanan dua jam dari Taree dan
juga perjalanan menaiki tren dari Macquarie selama tiga jam. Bandar Newcastle tidak
sesak seperti Sydney. Newcastle tambah berseri dengan pantai-pantainya yang cantik
seperti Nobbys dan Mereweather. Ramai juga pelajar Malaysia yang mengambil jurusan
perubatan di Universiti Newcastle. Universiti itu cukup unik kerana bangunan
yang dibina tidak boleh dibina melebihi ketinggian pokok. Betapa kecintaan
terhadap alam sekitar ditekankan cukup mendalam.
Saya meninggalkan dompet di dalam kereta. Pintu juga tidak dikunci dek
kerana keyakinan bahawa persekitaran itu selamat. Terbiasa.
“Jangan terbawa-bawa
tabiat ini sampai ke Malaysia sudahlah ya,” sahabat saya Asyikin berseloroh
sambil memulas botol Double Espresso
yang dingin. Saya mengangkat kening tanda kurang faham.
“Kenapa Ikin?” kami
masuk semula ke dalam perut kereta. Sahabat saya yang lain, Ain pun berminat
menyertai perbincangan. Enjin kereta belum dihidupkan agar angin luar dapat
dinikmati dengan tenang.
“Jenayah di negara kita
semakin dasyat. Pantang ada peluang, pasti ada yang menjadi mangsa samun,
culik, rogol. Ada satu kes, penjenayah masuk ke dalam kereta wanita ketika dia
sedang membuat bayaran di kaunter stesen minyak,” saya yang sedang asyik menghirup
jus oren tiba-tiba terhenti.
“Fadzilah pernah cerita
pada Ikin. Ada seorang lelaki sedang isi minyak motor dan selepas itu ada orang
menahannya agar diserahkan motor. Nampak dalam video itu seperti dia bergelut
keseorangan. Tetapi setelah diperiksa semula dalam rakaman CCTV, rupa-rupanya
ada sekumpulan orang ramai hanya berdiri dan memandang sahaja peristiwa itu
tanpa bertindak. Kemana sifat kemanusiaan mereka Aini?” saya terdiam.
Dimana nilai kemanusiaan
masyarakat kita? Adakah terhakis sedikit demi sedikit saban hari tanpa
mengetahui apa puncanya? Kadang-kadang saya tidak menafikan perasaan takut
untuk kembali ke Tanah Air tetapi disitulah tanah tumpah darah dan seharusnya
nilai Islami tidak merekah. Sungguh kita harus berbuat sesuatu. Teliti dari
akar umbi, dimana harus bermula implimentasi?
NILAI ISLAMI MELANGKAUI BUMI
Dan begitulah saya mengutip sedikit demi sedikit nilai Islami yang ada
dalam kalangan masyarakat yang belum mengenal Islam – Berhemah di jalanraya,
mengikut peraturan, tidak menghukum membuta tuli dan juga sabar. Semua ini saya
belajar dari mereka.
Alangkah indahnya jika
semua nilai ini dipraktikkan dengan sesungguh-sungguhnya dalam kalangan
masyarakat Islam sendiri, khususnya dalam negara Islam seperti Malaysia. Kadangkala
saya malu dengan diri sendiri. Sedar atau tidak, kita sebenarnya terperangkap
dalam satu pemikiran dimana orang yang berbuat baik akan mudah diambil
kesempatan oleh orang lain. Apa yang paling menyedihkan adalah sikap ini turut
menular dalam generasi pendakwah muda. Sikap buruk sangka berleluasa apatah
lagi jika mengetahui ada individu yang tidak sefikrah dan ‘sekepala’ dengan
perjuangan yang mereka namakan sendiri.
Astaghfirullah!
Seharusnya orang yang
menggelarkan dirinya mujahid dan mujahidah harus membuka minda agar skop
perjuangan bukan sekadar untuk menarik orang lain ke arah keindahan Islam dan
beribadah semata-mata. Mujahid dan mujahidah seharusnya mempamerkan dan
menonjolkan keindahan nilai Islam itu sendiri dan bukan sekadar kata-kata
dibibir semata.
Berapa ramai yang mampu menzahirkan nilai Islam itu dan masuk ke dalam
masyarakat umum berbanding yang terus menerus berada dalam kelompok selesa sesama
orang ‘baik’ untuk mengekalkan rasa ‘selamat’?
Fikir-fikirkan.
Tuesday, October 16, 2012
Akukah Mujahidah Itu [Episod 3]
“ALONG,
tolong ummi lap meja dapur sekejap,”
“Along,
tolong lipat kain adik-adik boleh?”
“Along,
tolong hidangkan makan malam untuk abah dan adik-adik. Ummi hendak solat dulu,”
“Along,
cuci bilik air hari ini ya?
PERMOHONAN
Bekerja
dalam waktu belajar adalah perkara yang tidak asing dalam kalangan pelajar luar
negara. Sebenarnya bukan wang yang menjadi keutamaan, tetapi pengalaman bekerja
dan bergaul dengan warga tempatan adalah pengalaman yang sukar dicari ganti.
Ramai
pelajar disini bekerja sebagai tukang cuci di pasaraya ataupun dirumah-rumah,
pengasuh, dan ada juga yang berpeluang mengajar anak-anak majikan Islam untuk
membaca Al-Quran.
Cerita
kawan saya, walaupun bekerja sebagai tukang cuci, melihat gelagat orang ketika
tempoh bekerja amat menyeronokkan. Meletakkan diri sebagai tukang cuci,
pengasuh dan pekerjaan-pekerjaan lain menjadikan pandangan orang lain terhadap
diri kita berubah-ubah. Kata kawan saya lagi, ada orang yang memandang sinis
kepada mereka dan ada juga sebaliknya. Realiti kehidupan terus-menerus berputar
dihadapan mereka.
“Senang
sahaja. Letak biodata dan apa kemahiran bekerja, nanti ada orang akan hubungi
Aini,” sahabat yang berjarak umur setahun dengan saya memberitahu ‘prosedur’
mencari kerja.
“Betulkah
kak Dayah? Boleh percayakah laman web gumtree
ni?” saya masih ragu-ragu. Kak Dayah hanya tersenyum. Gadis manis dari Parit,
Perak itu tersenyum-senyum.
“Tidak
mahu cuba, sudah!” kata-kata kak Dayah itu menyebabkan saya tersengih-sengih.
Bukan saya tidak tahu yang dia sendiri sudah bekerja dibeberapa tempat. Banyak
pengalaman yang telah saya dengar sendiri daripadanya. Tanpa menunggu lama,
saya menggerakkan tetikus untuk membuka laman sesawang tersebut.
DAPAT
KERJA
“Dapat kerja?” teman rumah saya Izzaty menyoal saya
tiba-tiba.
“Saya, saya tidak jadi
pohon…takutlah,” jawab saya lambat-lambat. Izzaty merenung saya lama.
“Ikut saya kerja di Plymouth. Kita
bersihkan rumah sama-sama, awak mahu pengalaman bukan?” tawaran Izzaty
menyebabkan saya terlopong tidak percaya.
Menarik juga dapat bekerja berdua.
Entah mengapa saya tidak cukup berani untuk melangkah sendiri dan bekerja untuk
seseorang yang tidak pernah dikenali.
“Baik!” dan sejurus itu saya melihat
Izzaty tersenyum.
TUGASAN BERMULA
Nama majikan kami Ben. Dia berasal
dari Belgium dan menyambung pelajaran di Universiti of Sydney. Menurutnya
apartment itu disewa bersama seorang kawannya tetapi hari itu hanya ada dia
seorang sahaja di rumah.
“Saya tinggalkan kunci disini dan
duit upah disini. 15 dolar sejam dan saya rasa dalam masa dua jam kerja kamu
boleh siap. Saya hendak keluar sekarang,” mudah sahaja dia memberikan arahan.
Pemuda itu keluar meninggalkan saya dan Izzaty di dalam ruang apartment yang
betul-betul menghadap bandar Sydney.
“Saya bersihkan bilik Ben, awak
bersihkan dapur dulu ya,” ujar Izzaty sambil mengangkat beberapa peralatan
mencuci. Saya menurut sahaja. Berdebar pun ada kerana saya dibayar untuk
melakukan kerja ini dan sudah pasti saya harus melakukan tugas itu dengan
sebaik-baiknya. Jika tidak, peluang untuk datang semula dan bekerja akan
berkurangan.
Saya teliti segenap penjuru
rumahnya, tidaklah terlalu kotor, malah sangat kemas dan bersih. Cuma
habuk-habuk sahaja yang terlalu banyak dan mencacatkan pandangan. Inilah antara
nilai baik yang ada pada orang bukan Islam, kebersihan. Sering saya lihat
mereka menitikberatkan soal kekemasan dan kebersihan walau dimana sahaja mereka
berada. Bilik air tidak boleh basah lantainya. Kadang-kadang malu bila
difikirkan anak muda yang menggelar diri mereka pendakwah tetapi masya Allah,
rumah dan sekeliling mereka, dasyat sungguh keadaannya.
Masih
di rumah Ben, saya ke bahagian dapur dan membasuh pinggan mangkuk yang didalam
sinki. Saya lap peti ais, oven dan semuanya. Penuh hati-hati saya melakukan
‘tugasan’ yang diberikan.
SATU
NAMA
Saya menyelesaikan semua tugasan
dirumah itu dalam masa dua jam. Sungguh saya tidak menyangka bahawa kerja-kerja
rumah yang saya anggap mudah dan ringan itu amat-amat memenatkan. Pinggang saya
sengal dan sakit. Kaki, tangan dan setiap sendi
terselit perit. Penat lelah itu berbayar dengan wang bernilai 35 dolar.
Namun lahir satu rasa, menjentik-jentik sukma, membuai-buai emosi, dan
terbersitlah satu nama dari bibir ini,
‘Ummi!’
NILAI
SEBUAH RUMAH
Saya cuba bawa kembali suara ummi
yang saya tinggalkan di perenggan pertama bab ini. Saya yakin, bukan saya
seorang sahaja yang pernah mengalaminya. Saya bertanya kepada diri sendiri,
apakah perasaan saya ketika itu. Marah? Geram? Ikhlas? Gembira?
Ummi saya seorang guru sekolah
rendah. Paginya sudah bermula seawal jam lima, menyediakan sarapan untuk abah
dan anak-anaknya seramai enam orang, menyediakan pakaian dan mengemas rumah.
Jam tujuh sudah ke sekolah. Pulang jam satu tengah hari, dia berusaha untuk
memasak untuk abah yang akan kembali ke pejabat pada jam dua. Ummi
seboleh-bolehnya tidak mahu membeli di kedai kerana mahu berjimat. Kami sewaktu
itu masih tinggal dirumah sewa. Pelbagai perkara menjadi pertimbangan abah dan
ummi. Saya maklum.
Usai solat zohor, ummi belum jamah
makanan lagi. Ummi basuh baju anak-anak dan kemas rumah. Ummi angkat dan lipat
kain dijemuran. Jam 4 petang selalunya saya baru pulang dari sekolah, ummi
terlena kepenatan dikerusi panjang ruang tamu dengan baju yang masih banyak
belum dilipat. Masuk waktu asar, ummi solat dan terus ke dapur untuk
menyediakan minum petang. Begitulah rutin ummi sehingga ke malam. Saya tidak
pasti bila melihat ummi makan sepenuhnya.
Saya yakin dan amat yakin kisah ibu
kalian pasti serupa ataupun lebih hebat dari catatan saya ini. Hati saya
tersayat setelah diberi peluang olah Allah SWT untuk bekerja di rumah Ben.
Penat
lelah saya yang sedikit itu dibayar, tetapi ummi?
Sakit
perit seluruh badan saya hanya kerana membuat kerja rumah selama dua jam,
tetapi ummi? Ummi melakukan semua itu sehari-hari tanpa mengeluh walau sekali.
Dan
saat ummi meminta pertolongan dari anak-anaknya yang dikasihi, adakah
anak-anaknya terus menghulurkan bantu atau terus menjauhi?
Persoalan-persoalan
itu menikam nubari saya. Layakkan menggelar diri sebagai pendakwah andai
perjuangan mengurus rumah sendiri masih gagal? Ini hanya pemerhatian dan pengalaman saya sendiri. Amat saya
kesali. Rumah yang dikongsi bersama teman-teman dihias indah, dijaga bersih
tanpa berat hati. Tidak kira masa, walau sesibuk mana pun diri, pasti ada masa
untuk membantu sahabat-sahabat apatah lagi jika mereka adalah mad’u kita.
Tetapi kenapa harus berkeluh-kesah, bermalas-malasan bila pulang ke rumah
sendiri. Rumah yang menjadi saksi kita diasuh dari sebesar jari sehingga
digelar insani?
DUNIA
TERPISAH DUA
Terkadang kita tidak sedar bahawa
kita telah memisahkan dunia dakwah menjadi dua dunia berbeza. Satu dunia di
luar rumah dan satu lagi di dalam rumah dimana terisinya permata-permata
berharga dalam hidup kita, ibu, ayah dan adik beradik.
Sering saya membaca tulisan-tulisan
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil tentang masalah pendakwah muda yang mempunyai watak
‘anak malas’ di dalam rumah sendiri. Apalah gunanya baik dimata manusia lain
tetapi tidak disisi ibu dan ayah sedangkan mereka lebih berhak menerima
kebaikan dari kita.
Pendakwah muda, daie, mujahid dan
mujahidah yang semakin banyak bertebaran di segenap mayapada, tetapi berapa
ramai yang benar-benar menghargai nilai sebuah rumah yang dimana bermulanya
akar tarbiyah?
Anda keluar dari rumah itu sebagai
bukan siapa-siapa, anda harus kembali ke rumah itu dengan seseorang yang
lebih menghargai setiap ruang dan isinya.
Jika anda boleh melakukan apa sahaja untuk menghargai setiap mad’u yang tiba,
buktikan penghargaan yang sama terutamanya kepada ibu dan bapa.
Tuesday, October 9, 2012
Ada apa dengan Hilal Asyraf
HILAL ASYRAF, satu nama yang cukup gah dalam bidang penulisan masa kini. Kali pertama saya mendengar namanya adalah ketika saya berumur 19 tahun. Sewaktu itu saya masih menuntut di Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang dalam program persediaan. Sewaktu itu, saya hanya mendengar dan tidak mengambil tahu sementelah saya bukanlah seorang pembaca mana-mana blog.
Rasa terpanggil untuk membaca tulisan beliau semakin berkobar-kobar apabila ramai sahabat-sahabat saya yang dari pelbagai latar belakang (tidak kira latar belakang sekolah agama atau tidak) sering memuji-muji tulisan dan pemikiran beliau.
Tetapi dek terhalang dengan tugasan di IPG dan kelam-kabut untuk 'terbang' keperantauan, saya tahankan sebentar hasrat itu hinggalah akhirnya Allah SWT mengurniakan saya 3 bulan senggang cuti setelah tamat tempoh pengajian persediaan.
Saya masuk ke sebuah kedai buku berhampiran Jalan TAR dan sekilas saya terlihat sebuah buku yang berjudul Sinergi. Itulah kali pertama saya membaca karya Hilal Asyraf.
Pada mulanya saya agak keliru dengan watak-watak yang terlalu banyak dalam novel tersebut. Namun kerana plotnya yang amat tersusun, saya tidak dapat mampu menghalang mata untuk terus menatap patah demi patah kata yang terhampar dalam buku tersebut. Hilal Asyraf, pada pandangan saya bukan sekadar penulis biasa. Beliau adalah seorang penulis yang bijak. Bijak meramukan ilmu dan kreativiti dan menjadikan karyanya tidak klise. Sungguh, Sinergi membuatkan saya berfikir lama tentang erti sebenar menjadi penulis. Kemahiran yang ditonjolkan oleh Hilal Asyraf membuktikan bahawa beliau tidak akan menulis sesuatu yang kosong dan kabur, lalu tidak mampu diaplikasikan dalam realiti.
Pendidikannya dalam bidang Usuluddin di Yarmouk adalah bonus yang amat besar untuk beliau melebarkan sayap dakwah. (Sedikit jeles tentang hal itu hehe). Beliau tenyata tidak mensia-siakan ilmunya lalu menyahut cabaran Tun Dr Mahathir apabila disoal tentang hudud. Hilal Asyraf sebenarnya telah menginspirasikan ramai anak muda dengan semangat dan keberaniannya dalam perjuangan ilmu.
Setelah saya berada dibumi Sydney, nama beliau semakin melonjak naik. Sungguh sebenarnya saya kagum dengan visi yang dimiliki oleh beliau. Langit Ilahi jadi bukti. Saya tidak ragu jika suatu hari nanti beliau mampu untuk memiliki stesen TV sendiri.
Saya amat berharap ianya bakal terjadi, ya! sebuah stesen TV yang dimiliki oleh orang yang berfikrah.
Apapun, beliau tetap manusia dan penulisan saya bukanlah untuk tujuan 'memuja' atau terlebih 'mengagungkan' beliau. Tetapi, Hilal Asyraf telah membuktikan cakap-cakap negatif oleh orang-orang sekeliling tidak pernah memberi kesan kepada langkah beliau.
Walaupun ada beberapa perkara yang saya banyak tidak bersetuju dengan cara beliau, dan sering buat peminat Hilal Asyraf kurang senang dengan komentar saya, (siapalah saya hahaha), saya tetap akui Hilal Asyraf punya visi yang kuat untuk terus bangun dan berdiri dalam dunia perbukuan, perniagaan dan semestinya perjuangan Islam.
Semoga penulis-penulis muda boleh mengambil semangat Hilal Asyraf dan tidak menjadikan penulisan sebagai satu medium untuk 'memuaskan' kehendak nurani sendiri sahaja.
Rasa terpanggil untuk membaca tulisan beliau semakin berkobar-kobar apabila ramai sahabat-sahabat saya yang dari pelbagai latar belakang (tidak kira latar belakang sekolah agama atau tidak) sering memuji-muji tulisan dan pemikiran beliau.
Tetapi dek terhalang dengan tugasan di IPG dan kelam-kabut untuk 'terbang' keperantauan, saya tahankan sebentar hasrat itu hinggalah akhirnya Allah SWT mengurniakan saya 3 bulan senggang cuti setelah tamat tempoh pengajian persediaan.
Saya masuk ke sebuah kedai buku berhampiran Jalan TAR dan sekilas saya terlihat sebuah buku yang berjudul Sinergi. Itulah kali pertama saya membaca karya Hilal Asyraf.
Pada mulanya saya agak keliru dengan watak-watak yang terlalu banyak dalam novel tersebut. Namun kerana plotnya yang amat tersusun, saya tidak dapat mampu menghalang mata untuk terus menatap patah demi patah kata yang terhampar dalam buku tersebut. Hilal Asyraf, pada pandangan saya bukan sekadar penulis biasa. Beliau adalah seorang penulis yang bijak. Bijak meramukan ilmu dan kreativiti dan menjadikan karyanya tidak klise. Sungguh, Sinergi membuatkan saya berfikir lama tentang erti sebenar menjadi penulis. Kemahiran yang ditonjolkan oleh Hilal Asyraf membuktikan bahawa beliau tidak akan menulis sesuatu yang kosong dan kabur, lalu tidak mampu diaplikasikan dalam realiti.
Pendidikannya dalam bidang Usuluddin di Yarmouk adalah bonus yang amat besar untuk beliau melebarkan sayap dakwah. (Sedikit jeles tentang hal itu hehe). Beliau tenyata tidak mensia-siakan ilmunya lalu menyahut cabaran Tun Dr Mahathir apabila disoal tentang hudud. Hilal Asyraf sebenarnya telah menginspirasikan ramai anak muda dengan semangat dan keberaniannya dalam perjuangan ilmu.
Setelah saya berada dibumi Sydney, nama beliau semakin melonjak naik. Sungguh sebenarnya saya kagum dengan visi yang dimiliki oleh beliau. Langit Ilahi jadi bukti. Saya tidak ragu jika suatu hari nanti beliau mampu untuk memiliki stesen TV sendiri.
Saya amat berharap ianya bakal terjadi, ya! sebuah stesen TV yang dimiliki oleh orang yang berfikrah.
Apapun, beliau tetap manusia dan penulisan saya bukanlah untuk tujuan 'memuja' atau terlebih 'mengagungkan' beliau. Tetapi, Hilal Asyraf telah membuktikan cakap-cakap negatif oleh orang-orang sekeliling tidak pernah memberi kesan kepada langkah beliau.
Walaupun ada beberapa perkara yang saya banyak tidak bersetuju dengan cara beliau, dan sering buat peminat Hilal Asyraf kurang senang dengan komentar saya, (siapalah saya hahaha), saya tetap akui Hilal Asyraf punya visi yang kuat untuk terus bangun dan berdiri dalam dunia perbukuan, perniagaan dan semestinya perjuangan Islam.
Semoga penulis-penulis muda boleh mengambil semangat Hilal Asyraf dan tidak menjadikan penulisan sebagai satu medium untuk 'memuaskan' kehendak nurani sendiri sahaja.
Monday, October 8, 2012
Akukah Mujahidah Itu - [episod 2]
KEYAKINAN
TANPA KERAGUAN
MUSIM
demi musim saya lalui di Sydney. Allah SWT mengizinkan saya mengembara
bersama-sama sahabat dibumi selatan ini. Australia amat kaya dengan pemandangan
yang memukau seperti Blue Mountain, Blowhole Kiama, Black Mountain Canberra,
Great Ocean Road di Melbourne dan banyak lagi. Saya pernah mengikuti rombongan
anjuran universiti untuk ke Wollongong bersama-sama pelajar tempatan yang lain.
Wollonggong ditemani kota-kota kecil
yang damai seperti Kiama dan Berry. Walau berjarak berpuluh-puluh kilometer
dari bandar Sydney, ternyata kota-kota kecil itu memiliki keunikannya sendiri.
Semestinya destinasi-destinasi itu bebas dari hiruk-pikuk kota dan kesibukan
manusia kerana apa yang ada di sepanjang jalan ke Wollongong adalah hamparan
keindahan ciptaan Tuhan. Sesekali saya mengintai-intai ke luar tingkap bas.
Jika nasib baik saya baik, mungkin terlihat kelibat kangaroo liar yang
cuba-cuba melintas jalan. Seingat saya, ketika memandu dilebuhraya menuju Blue
Mountain sewaktu tahun pertama dulu, saya menekan brek kecemasan beberapa kali
kerana kehadiran binatang yang menjadi identiti Australia itu. Terkejut juga
kerana waktu itu saya dan sahabat-sahabat pernah melihat kangaroo dilanggar
oleh kenderaan dan sebagainya.
Perjalanan
ke Wolonggong mengambil masa dua jam. Kami berhenti dibanyak tempat itu dan
diantaranya adalah Blowhole Kiama. Cuaca ketika itu panas amat namun anginnya
dingin sekali. Saya dan sahabat-sahabat menunaikan solat diatas rumput hijau
berhampiran rumah api. Apa yang menarik di Blowhole adalah pancutan air laut
yang terhasil ditengah-tengah terowong kecil semula jadi batu karang. Pancutan
air laut itu boleh mencecah setinggi 25 meter. Pengunjung dapat menikmati
pemandangan itu dengan jelas kerana ada perbatasan dibina sepanjang Blowhole
itu.
TOKONG
NAN TIEN
Hari mula petang dan rombongan tiba
di Tokong Nan Tien, destinasi terakhir pada hari itu. Tokong terbesar di
Hemisfera Selatan itu menjadi tumpuan ramai pelancong dalam dan luar negara
jadi tidak hairanlah sekitar tokong yang dilindung pokok-pokok rimbun dan bukit-bukit
kecil itu sentiasa penuh dengan orang. Saya juga sempat menaiki bukit kecil
yang terbina menara loceng di atasnya.
Bayu dingin amat menyegarkan batang
tubuh. Saya sengaja berpecah dari kumpulan kecil sahabat-sahabat dan berjalan
hingga ke satu ruang besar dimana banyak sungguh patung-patung perlbagai bentuk
dan rupa. Tiba-tiba saya terpandang salah seorang sahabat saya, Natrah sedang
berbual-bual dengan seorang lelaki mat saleh separuh abad. Kelihatan raut wajah
Natrah seperti tidak selesa. Saya tidak berfikir lama untuk menyertai perbualan
mereka.
Lelaki itu melontarkan soalan
bertalu-talu kepada Natrah. Saya bertindak sebagai pendengar sahaja pada
mulanya.
“Dunia ini tidak adil bukan?”
“Alam dan semua yang ada ini terjadi
sendiri. Semulajadi, tiada pencipta. Saya pasti kamu setuju?”
“Kalau betul ada Tuhan, mesti Tuhan
sudah selamatkan semua orang yang berada dalam kemiskinan, kebuluran, perang.
Semua ini tidak adil bukan?”
RESAH
NATRAH
Dan
sekarang saya tahu kenapa Natrah resah. Saya jua merasakan yang sama. Jika
selama ini perdebatan sebgitu hanya saya tonton di televisyen, pembacaan dalam
novel-novel Islamik dan video-video di youtube.
Tetapi saat itu, detik itu, sayalah ‘pelakon’nya. Sayalah yang
bertanggungjawab menjawab segala ‘serangan’nya. Beberapa kali saya menggenggam
jari-jemari yang sejuk membeku. Degup jantung terlalu kuat bagai mahu tembus
keluar dari tubuh.
Saya biarkan dahulu lelaki itu
meluahkan apa sahaja yang berada dalam fikirannya. Nafas yang tidak teratur
saya cuba tahan sedayanya. Sebenarnya saya pelik kenapa dalam ramai-ramai
pengunjung yang hadir, dia ‘memilih’ untuk melontarkan provokasi itu kepada
kami yang bertudung ini.
Natrah memandang-mandang saya yang
masih diam. Seketika kemudian sahabat saya Sufian mula menghampiri. Dia
kelihatan seperti dapat merasakan ‘bahang’ antara kami bertiga ketika itu.
“Kenapa awak mempersoalkan tentang
keamanan, kebuluran, yang kuat menindas yang lemah dna semua yang berlaku didunia
sekarang?” saya memberanikan diri untuk bertanya. Seelok-eloknya cuba saya atur
perkataan Bahasa Inggeris saya agar sampai mesejnya.
Lelaki itu merenung saya lama. Aduh,
kecut perut saya waktu itu.
“Sebab saya tidak percaya Tuhan,”
jawabnya dengan tegas. Saya perasan Sufian mahu membidas tapi cepat-cepat saya
menjeling ke arahnya agar dia berhenti. Sufian mengerti dan memberi laluan
kepada saya. Lega saya. Saya maklum sahabat saya yang seorang ini memang petah
berbicara dalam Bahasa Inggeris.
“Jadi maksud awak dunia ini tiada
pencipta?” soal saya lagi. Lelaki itu seperti kurang senang dengan pertanyaan
demi pertanyaan dari saya. Mungkin kerana dia tidak nampak apa signifikannya
saya bertanya itu dan ini.
Kali ini Sufian tidak dapat mengawal
tempoh berdiam dirinya. Saya tergelak kecil. Saya sudah mengagak.
“Jadi, jadi apa tujuan awak hidup? Apa
awak fikir selepas mati? Semua hal tidak masuk akal tanpa pencipta..” banyak
lagi yang terluah dari mulut Sufian. Tak terkejarkan oleh saya untuk memintas
percakapannya. Saya lihat telinga lelaki itu sudah merah. Saya geleng laju-laju
ke arah Sufian. Baru saya perasan ada beberapa pengunjung yang memerhatikan
gelagat kami disitu.
“Boleh saya sambung lagi soalan saya
tadi?” saya mencelah. Berkerut dahi lelaki itu.
“Teruskan sahaja,” pendek sahaja dia
membalas. Saya menelan liur berkali-kali. Mata saya menangkap kerusi tempat
lelaki itu duduk.
“Percaya atau tidak kalau saya katakan
bahawa kerusi yang awak sedang duduk itu terhasil dan terbina sendiri. Tidak ada tukang
kayu yang bertukang, tidak ada pokok yang tumbang untuk diambil kayunya, tidak
ada orang yang meletakkannya disitu tetapi kerusi itu memang sudah siap tanpa
usaha siapa-siapa dan akhirnya awak duduk diatasnya. Percaya atau tidak?”
lelaki itu menggeleng-geleng laju. Tangan kanannya bergoyang-goyang beberapa
kali seperti menidakkan semua yang saya katakana sebentar tadi.
Hendak terbelit-belit lidah saya
bertutur dalam Bahasa Inggeris tapi saya cuba yang terbaik dan termampu. Saat itu
saya merasakan betapa luasnya skop mad’u yang kita perlu dekati. Bukan sebatas
manusia sebangsa dan senegara sahaja. Semua orang perlukan Islam. Semua orang
mesti dengar, lihat dan rasa Islam. Tapi, siapa yang akan sampaikan kepada
mereka? Itu persoalannya.
JAWAPAN
TIDAK DITERIMA
Lelaki itu marah-marah. Lebih ramai
pengunjung disekitar Tokong Nan Tien mula ‘berminat’ untuk mengetahui apa yang
berlaku diantara kami.
“Soalan itu tidak logik langsung. Tidak
relevan. Tidak mungkin kerusi ini terhasil tanpa ada yang membinanya..” saya
genggam erat jemari. Ya! Inilah yang saya tunggu-tunggu. Saya terus memotong
kata-katanya.
“Awak sudah bersetuju dengan
kewujudan pencipta. Semestinya dunia ini juga ada pencipta, bukan?” tangan saya
semakin dingin. Takut dan lega bercampur tetapi kaki saya masih tidak mahu
berganjak dari situ. Lelaki itu terpempan. Mulutnya terkumat-kamit. Saya pasti
dalam kepalanya masih banyak perkara yang mahu dilontarkan kepada kami bertiga,
dan pastinya saya.
Tiba-tiba seorang wanita cina datang
menghampirinya. Ketegangan mulai berkurangan. Wanita itu memperkenalkan diri sebagai
isteri kepada lelaki itu. Tetapi belum sempat saya beramah-mesra dengan
isterinya, dia menimbulkan kembali provokasi lain.
“Jadi, kalau dunia ini ada pencipta,
kenapa dunia masih belum aman?” saya perasan isterinya menjegilkan mata ke arah
suaminya.
“Manusia yang merosakkan dunia,”
jawapan itu terpacul dari mulut saya. Kelihatan isterinya menarik-narik lengan
si suami, memujuk-mujuk untuk berhenti makan tengah hari. Katanya lagi perut sudah
lapar dan lama menunggu. Saya, Natrah dan Sufian memerhatikan sahaja ‘drama’
itu.
Dalam hati saya tidak berhenti-henti
berdoa tidak berlaku sebarang kekasaran. Lelaki itu mahu berbicara lagi namun
isterinya berusaha keras menarik-narik tangan suaminya agar meninggalkan
kawasan Tokong Nan Tien dan menuruni tangga ke aras bawah.
“Maafkan kami ya sebab sekarang
sudah lewat. Enjoy your stay in
Australia!” laungnya sambil meninggalkan kami yang masih tercegat disitu. Sebaik
sahaja baying-bayang mereka menghilang, saya genggam tangan Natrah untuk menghilangkan
debar yang masih terperangkap dalam jiwa. Saya pandang Sufian pula. Masing-masing sebenarnya masih terkelu.
“Baru sikit kita sudah rasa gelabah
sebegini,” saya hanya tersenyum mendengar luahan Sufian.
LANGKAH
BESAR
Besar
manakah langkah kita untuk sampai kepada mad’u? Berulang-ulang kali saya
meletakkan persoalan itu dalam cepu kepala. Bermusafir dibumi kangaroo ini
membuatkan saya ‘terdedah’ kepada ramai mad’u. Memang peluang berdakwah terbuka
luas tetapi hal ini membuatkan saya refleksi, sebesar manakah keyakinan kita
sendiri kepada kebenaran agama syumul ini.
Setiap
hari sudah pasti kita akan cuba memperbaiki diri, memperbanyakkan ibadah dan
berusaha memperdekatkan diri kepada Allah. Jika kita benar-benar faham kenapa
kita melakukan semua itu, sudah pasti kita tidak akan ragu untuk menyampaikan
kepada orang yang belum pernah mengenal Islam.
Katakanlah
umur anda sekarang sudah mencecah 22, apakah makna sebenarnya ibadah dan amal
selama lebih 20 tahun itu dikerjakan? Mahu syurga, pahala dan berada dalam
kalangan kekasihNya adalah impian setiap manusia bergelar hamba.
Persoalan
itu mengetuk-ngetuk keras pintu nurani saya. Jika sebanyak usia itu telah saya
gunakan untuk beribadah, mendalami agama Allah SWT, sebanyak mana pula yakin
untuk menyampaikan, mengatakan saya benar-benar yakin dengan jalan ini dan
berusaha untuk menyebarkannya kepada semua? Adakah saya terlalu takut hingga
keyakinan yang saya sebut tergugah mudah? Keyakinan itu, adakah akan berkekalan
sehingga malaikat Izrail singgah? Fikirkanlah duhai teman. Keluarlah dari zon
keselesaan yang membahayakan, membunuh iman dalam diam.
Teguhkan
keyakinan itu dan berdoalah agar dipilih dalam baris hadapan perjuangan agama
Allah SWT. Keyakinan untuk berkata benar walaupun pahit adalah keyakinan pada
Allah SWT tanpa sebarang keraguan.
Sunday, September 9, 2012
Akukah Mujahidah Itu - [episod 1]
Kejahilan kiri dan kanan
Saya
tiba dibumi Sydney lebih kurang jam dua petang waktu tempatan. Hati
berdebar-debar hanya Allah Swt yang tahu saat kaki melangkah keluar dari
Lapangan Terbang Antarabangsa Kingsford. Sebagai pelajar tajaan Kementerian
Pelajaran Malaysia, semestinya saya harus berpakaian kemas, berkot dan berskirt
panjang hitam serta bertudung putih. Rimas juga sepanjang lapan jam
penerbangan.
Pelbagai bayangan dalam minda saya
pecah berkeping-keping setelah menatap langit biru pekat Sydney. Rasa tidak
percaya saya kini berada jauh beribu batu dari bumi Malaysia. Saya pandang
sahabat-sahabat saya dan mereka hanya tersenyum, tidak mampu mengungkapkan
perasaan yang penuh dijiwa. Cahaya mentari agak terik sementelah musim panas
belum benar-benar berlalu. Selain cuaca yang asing, langit yang asing,
pemandangan yang asing, ada sesuatu yang lebih asing.
Budayanya!
“Allah! Apa yang diorang buat ni?
Tempat umum kot!” sahabat saya Izzaty menarik-narik lengan baju saya sambil
mulutnya memuncung ke satu arah. Saya beristighfar panjang melihat satu
pasangan tempatan sedang bercumbu-cumbuan.
Boleh dikatakan setiap derap kaki
ini tidak terlepas daripada ‘hidangan’ maksiat. Pandang kiri dan kanan, hanya
istighfar yang dituturkan dalam usaha menjaga hati yang rapuh ini. Kalau dalam
tren atau bas yang memakan masa perjalanan yang panjang, hanya Allah Swt yang
tahu betapa gelisahnya hati saya dan sahabat-sahabat kerana seolah-olah dipaksa
untuk ‘menonton’ aksi-aksi yang mampu mengikis iman seorang muslim.
Tidak cukup dengan itu, saya
mendapat tahu di universiti punya satu acara keraian yang dinamakan ‘Conception
Day’ dimana semua pelajar ataupun orang awam akan datang berkampung ke
Macquarie untuk berpesta dan apa yang mampu saya katakan adalah kemuncak
maksiat yang sebenar. Hari itu, saya dan sahabat-sahabat tidak akan keluar dari
rumah. Takut terlihat kemaksiatan, takut diapa-apakan. Ketika itu, Islam
benar-benar dirasa dagang. Allah..
Peristiwa yang saya tidak akan boleh
saya lupakan adalah ketika bersolat di taman dihadapan stesen tren Central.
Taman itu memang indah. Rumput menghijau, deretan kerusi panjang dan
burung-burung merpati berterbangan dilangit biru dan sesekali berjalan
terkedek-kedek menunggu pengunjung memberi makanan. Indah sekali! Disitulah
saya dan sahabat-sahabat akan menunaikan solat dengan beralaskan kain selendang
di atas rumput yang dingin. Entah mengapa dan bagaimana saya tidak sedar, dalam
nyaman bersujud dalam solat, merasakan nikmat lebih dekat dengan tanah,
tiba-tiba sahaja muncul figura manusia yang sedang melakukan maksiat sebaik
sahaja saya berpaling untuk memberikan salam.
Saat itu air mata saya menitis laju.
Tak tertanggung rasa sebak dalam sukma. Rasa berat dalam dada. Muka panas dan
berpijar-pijar. Tidak mampu saya huraikan perasaan yang bercampur-baur.
Seolah-olah Allah sedang mengajar saya betapa dasyatnya jahiliah itu hingga
membuatkan manusia hilang kewarasannya, sifat malunya. Paling menyentap nubari
saya adalah, Allah seperti menunjukkan kepada saya bahawa manusia itu dibezakan
dimata Allah bukan kerana harta, pangkat mahupun rupa. Namun manusia itu
berbeza dengan pegangan aqidahnya.
Sedih saya berpanjangan agak lama.
Saya jadi takut jika suatu hari nanti Allah akan membolak-balikkan hati ini.
Takut sekali. Dan masa pun berlalu tak terkejarkan. Tanpa saya sedar, saya
semakin lali dengan semua itu. Kadang-kadang saya tidak kisahpun keadaan
sekeliling dan mampu melakukan apa-apa kerja seperti biasa.
Ya
biasa! Akhirnya jahiliah menjadi biasa dimata saya!
Bicara
dengan Hanan
Sahabat saya di Universiti New South
Wales ditimpa musibah oleh Allah Swt. Sakit lamanya berulang kembali. Saya dan
sahabat-sahabat menziarahi beliau. Seingat saya, sahabat rapat bernama Hanan
ikut bersama. Sedih dan pilu apabila mendapat tahu sahabat saya diuji sehingga
akhirnya dia terpaksa pulang ke Malaysia kerana rawatan yang diperlukan perlu
berterusan. Kos perubatan di Sydney agak mahal dan berjauhan dengan keluarga
amat-amat menyulitkan keadaannya. Ujian demi ujian yang diberi kepada
orang-orang sekeliling menjadikan nurani saya terjentik untuk menilai kembali
kurniaan dan nikmat yang Allah kurniakan kepada saya.
Usai berziarah, menitipkan kata-kata
semangat, saya dan sahabat menunggu bas untuk pulang semula ke Macquarie.
“Lewat pula bas kali ini, aku masuk kedai sebelah ini dulu ya,” kata sahabat saya Sazrah sambil berlalu bersama
Fatin dan Izzaty. Tinggal saya dan Hanan sahaja waktu itu sambil duduk di
kerusi tempat menunggu bas. Suasana sudah gelap seawal jam tujuh petang. Gelap
sungguh namun masih diterangi lampu-lampu kereta yang bersimpang-siur membelah
kota. Tiba-tiba seorang gadis tempatan kulih melepak dan berambut perang
melintas dihadapan kami.
“Cantiknya kaki dia. Potongan badan
dia pun elok pakai macam tu,” spontan ayat begitu terbersit dari mulut saya.
Hanan hanya membalas dengan senyuman. Lama kami terdiam, tiba-tiba saya
tersentak.
“Astaghfirullah,” Hanan berpaling
kepada saya. Dahinya berkerut. Saya hanya menggeleng-geleng kepala. Dahi saya
juga berkerut. Rasa malu tiba-tiba.
“Hanan, perasan atau tidak yang kita
sudah tidak kisah lihat orang pakai seksi dan buat aksi tak senonoh depan
khalayak?” saya gusar. Gusar yang amat kerana jika hati tidak menegah perbuatan
diri yang salah, pasti ada sesuatu yang tidak kena.
“Hanan sendiri pun rasa begitu.
Hanan pun persoal balik pada diri kenapa aku sudah tidak hairan akan maksiat
yang ada disana sini. Rasa biasa itu sebenarnya membunuh rasa takut kita kepada
Allah,” jawapan Hanan membuatkan saya hanya mampu menalan liur.
Kebiasaan menjadikan kita leka lalu
lupa mana yang salah dan benar. Mujahadah yang tinggi diperlukan untuk
menghadapi ‘kebiasaan’ itu. Namun ianya tidak semudah perkataan-perkataan yang
saya nukilkan seperti sekarang ini. Ianya memerlukan usaha yang bukan sedikit
apatah lagi ruang untuk memandang, terpandang, terdengar dan berada dalam
maksiat amat-amat luas. Tiada siapa yang menegah kecuali diri sendiri.
Kebiasaan menjadikan kita mengambil
mudah pada jahiliah. Kebiasaan menjadikan kita lupa pandangan Allah terhadap
kita. Kebiasaan membunuh sifat malu berhadapan dengan kemungkaran. Hal ini
menyebabkan saya reflek kembali bagaimana saya membentuk sudut pandang saya
sebagai seorang muslim. Bertalu-talu saya menyoal diri sekuat manakah usaha
saya untuk mengekalkan rasa malu, rasa takut dan rasa rindu pada Allah Swt.
Saya yakin Allah Swt tidak
mencampakkan saya kebumi ini tanpa arah tuju. Allah Swt tidak memperlihatkan
semua ‘kejahilan’ itu kepada saya dengan sengaja. Saya sedar bahawa selama ini
saya sebenarnya ego dan angkuh dengan Islam yang saya ada. Ketika di Malaysia,
saya ingat selama ini saya sudah melakukan mujahadah yang tinggi dengan menghindarkan
diri dari semua maksiat baik dari segi pandangan, pendengaran dan seluruh panca
indera yang Allah Swt kurniakan.
Namun mujahadah saya belum cukup
kuat apabila segala kejahilan itu dicampak benar-benar dekat hela nafas saya.
Allah Swt mahu saya berhenti syok sendiri
dan mudah berpuas hati dengan kerja dakwah yang dilakukan selama saya hidup
lebih 20 tahun. Tanggungjawab sebenar berdakwah adalah pada orang yang belum mengenali
Islam. Kesayuan saya bertambah-tambah setiap kali mengatur langkah didalam
negara asing ini. Ditengah-tengah lautan manusia yang tidak mengenal siapa
Allah, saya mula mempersoalkan diri sendiri. Kenapa harus aku yang ‘terbiasa’
dengan kejahilan mereka? Kenapa tidaka ku yang mengenalkan Tuhan sebenar kepada
mereka?
Realiti
Sebenar.
Saya sentiasa mengimbas kembali
kenangan ketika membuat program persediaan di Pulau Pinang. Pahit manis bersama
sahabat-sahabiah yang aktif mengajak orang ramai untuk kea rah kebaikan. Jika
ada yang seakan-akan ketinggalan, genggaman tangan tidak akan dilepaskan. Cabaran
ditanah air tampak rumit dimata pendakwah muda apabila mereka mengharapkan ‘perubahan’
serta-merta dari orang yang diberi dakwah (mad’u). Namun percayalah
sahabat-sahabatku sekelian, janganlah berputus asa untuk terus menyantuni mad’u
kerana mereka sebenarnya sudah mengenal Tuhan.
Cuba fikir dalam-dalam, betapa
ramai lagi manusia di seluruh pelusuk bumi ini yang belum mengenal siapa Allah.
Mereka semua menunggu kita untuk menyampaikan dan memperkenalkan kepada mereka
siapa Allah Swt. Sejujurnya, saya sendiri mengakui, tanggungjawab ini tidak
mudah. Saba hari saya dirundung rasa bersalah sepanjang permusafiran disini
kerana saya yakin Allah Swt tidak menghantar saya kebumi ini tanpa tujuan.
Sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana Allah Swt, jangan terlalu
gembira dengan usaha dakwah yang dilakukan. Saya sedih dengan sahabat-sahabat,
dengan diri saya sendiri yang ‘membiasakan’ diri dengan kejahilan-kejahilan
kecil seperti hiburan. Hiburan tidak salah. Namun untuk menguruskan cara berhibur,
ianya memerlukan mujahadah yang tinggi agar tawa dan suka kita tidak menguasai
hati. Mujahadahlah untuk menjaga pintu hati tidak tertutup kepada kebenaran.
Saya pernah jatuh berulang-ulang kali kepada hiburan, namun saya cuba untuk
bangkit kembali agar tidak ditinggalkan dalam kejahilan yang mencengkam.
Berjuanglah
habis-habisan untuk terus kekal dalam dunia perjuangan Islam kerana suatu hari
nanti setiap titis usaha kalian akan menjadi saksi untuk kemenangan Islam.
Apabila diuji dengan kekecewaan, jangan menangis terlalu lama. Jangan biarkan
titisan air matamu melemahkan semangatmu. Jadikanlah ia penguat cinta yang
lebih tulus terhadap agama suci ini.
Sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana
Allah Swt. Allah mentakdirkan saya berada di bumi Sydney dan Allah juga telah
mentakdirkan kalian berada dibumi yang lain. Setiap orang ditakdirkan untuk
berpijak pada bumi yang berbeza, namun ketahuilah bahawa kita sebenarnya
berkongsi visi dan misi yang sama.
Allahuakbar!
Subscribe to:
Posts (Atom)