Sunday, October 21, 2012

Akukah Mujahidah Itu [Episod 4]


CUACA TAK TERJANGKAKAN
SAYA masih bergelut dengan perubahan cuaca yang tidak menentu sementelah musim luruh makin menghampiri. Rintik hujan datang sekejap-sekejap dan kemudian timbul matahari memanaskan bumi. Jaket yang dipakai ditanggalkan tetapi beberapa jam kemudian angin berpiuh dingin dan meresap ke tulang. Jaket dipakai semula. Begitulah Sydney dalam permainan cuaca yang tidak terjangkakan. Namun atas penerangan dari kakak-kakak senior, peralihan musim selalunya merupakan antara faktor cuaca berubah-ubah sepanjang hari. Namun saya pasti Tuhan sudah merencanakan sesuatu yang bermakna buat hambaNya. Terpulang pada hamba-hambaNya sama ada mahu ikhlas menerima kehidupan dengan cara yang mereka pilih.
Hari ini saya berjalan kaki ke pusat membeli-belah Macquarie Center yang terletak agak jauh juga dari Macquarie Village dimana terletaknya rumah saya disitu. Berjalan kaki menelusuri rumah-rumah berbata merah disepanjang lorong-lorong kecil yang dipenuhi dengan daun-daun mapel kering itu menerbitkan satu ketenangan dalam jiwa. Sengaja  saya perlahankan langkah untuk melihat longgokan daun-daun mapel kering yang sudah pun berwarna coklat pekat. Serasa seperti dalam filem Mohabbatein pula.


PENGGUNA JALAN RAYA
 Saya terus berjalan sehingga bertemu jalan raya. Tanpa diarah, saya berhenti dipinggir jalan dan melihat kiri dan kanan. Jangkaan saya seperti biasa yang biasa dilakukan di Tanah Air tercinta. Pejalan kaki akan menunggu kereta melepasi mereka sebelum melintas, apatah lagi jalan raya yang tidak mempunyai lampu isyarat. Namun hari itu saya seakan terpaku seketika apabila kereta yang dipandu dijalan raya Australia berhenti dan memberikan laluan . Biarlah lambat atau cepat manapun kita berjalan, pemandu akan menunggu sehingga semua pejalan kaki selamat sampai keseberang. 
Mungkin ada yang akan berkata begini,
“Bukankah itu sistem, mestilah rakyatnya akan patuh!”
“Alah, itu sebab mereka sudah biasa,”
“Ingat mudahkah hendak beri jalan kepada orang? Nanti yang lain pijak kepala,”
Jika kerana sistem, adakah kita semua akan benar-benar mengikut sistem jika ia diimplimentasikan? Kenapa harus dipersoalkan kebiasaan atau bukan kebiasaan orang setempat untuk melakukan nilai-nilai murni apatah lagi nilai-nilai Islami? Kenapa perlu risaukan orang lain menganiaya kita andai kita berbuat kebaikan di jalan raya atau dimana sahaja sekalipun?
Saya berpeluang memandu kereta di sekitar Sydney dan Melbourne sepanjang kembara di bumi Selatan.
            Subhanallah! Rasa sungguh selamat sekali hingga tidak tersedarkan saya sedang memandu di sebuah bandar besar dalam negara asing. Pemandunya sungguh bertoleransi. Tidak ada situasi berbalas-balas hon malah sungguh ramai yang baik hati memberikan jalan jika ada yang memberi signal.
            Saya masih ingat ketika memandu berhampiran dengan kawasan Kingsford bersama sahabat-sahabat. Waktu itu jam sudah menunjukkan pukul sembilan malam. Sahabat-sahabat yang turut bersama panik tiba-tiba kerana GPS yang kami gunakan tidak berfungsi. Pemanduan saya jadi tidak tentu hala. Kebimbangan mula bercambah kerana laluan untuk kembali ke Macquarie masih jauh.
            “Allah! Kenapa semua kereta menghala ke arah bertentangan?” peluh dingin merenik di dahi saya. Sahabat baik saya, Izzaty menoleh-noleh ke luar tingkap kereta.
            “Ini jalan sehala! Bahaya, berhenti Aini. Pusing balik, pusing balik!” Izzaty separuh menjerit. Saya menarik nafas dalam-dalam. Tangan saya menggeletar. Kebimbangan berlaku kemalangan dan ketakutan dimarah pengguna jalan raya lain berselirat dalam kepala saya setelah peka kereta itu kami sewa bersama-sama.
            “Allah, kalau tidak berhenti bahaya. Kalau berhenti tiba-tiba pun bahaya. Apa yang harus aku buat?” saya hampir menangis. Saya mula membayangkan bunyi-bunyi hon yang kuat dan kata-kata kesat.


SANGKAAN MELESET
            “Eh!” dahi saya berkerut apabila kereta dihadapan dan dibelakang kereta kami memberikan isyarat berhenti. Jalan yang sesak itu menjadi kaku seketika, seolah-olah menunggu saya untuk membuat pusingan agar keluar dari jalan sehala itu.
            Cepat-cepat saya membuat pusingan dan mengangkat tangan tanda terima kasih setelah selesai melakukannya. Tiada riak marah pun pada wajah mereka. Betapa leganya hati saya ketika itu.
            Teingat saya ketika memandu bersama Abah di Malaysia ketika pulang bercuti musim panas. Saya memandu seprti biasa hinggalah sebuah kenderaan dari lorong sebelah kanan memberi isyarat hendak keluar. Kereta-kereta dari arah saya bertali-arus tanpa henti. Saya tebak si pemandu mungkin sudah lama menunggu. Tanpa dipinta, saya memperlahankan kereta dan memberi lalun kepada kereta itu. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan budaya jalan raya di Sydney, saya berbuat demikian. Pemandu kereta itu berpaling ke arah saya dan Abah lalu melemparkan senyuman.
            Saya sudah menjangka, Abah mempersoalkan tindakan saya. Saya menerangkan kepada Abah tentang suasana jalan raya di Sydney dan Abah mengangguk-angguk lama.
            “Ini Malaysia along, susah kalau kita seorang sahaja yang berfikir begitu sedangkan orang lain tidak,” saya teliti setiap kata-kata Abah.
            Abah tidak bersalah. Dia punya sebab untuk berujar seperti itu sementelah dia lebih banyak makan garam berbanding saya. Tetapi adakah kita, yang menggelarkan diri sebagai pendakwah, pencinta ilmu dan pelakar transformasi mahu membiarkan pemikiran kita terjajah oleh budaya negatif seperti ini dan selama-lamanya mengenepikan nilai-nilai Islami dalam kehidupan sehari-hari?
            Teman-teman, dibumi ini kita berpijak dan perjuangkanlah Islam dari segenap sudut yang tersedia, sistemnya, budayanya, orangnya, ayuh kita usaha!

REALITI YANG MENAKUTKAN
            Sewaktu singgah untuk mengisi tangki minyak kereta di sebuah stesen minyak di Newcastle, saya dan sahabat-sahabat mengambil peluang membeli minuman untuk membasahkan tekak yang kering setelah menempuh perjalanan dua jam dari  Taree dan juga perjalanan menaiki tren dari Macquarie selama tiga jam. Bandar Newcastle tidak sesak seperti Sydney. Newcastle tambah berseri dengan pantai-pantainya yang cantik seperti Nobbys dan Mereweather. Ramai juga pelajar Malaysia yang mengambil jurusan perubatan di Universiti Newcastle. Universiti itu cukup unik kerana bangunan yang dibina tidak boleh dibina melebihi ketinggian pokok. Betapa kecintaan terhadap alam sekitar ditekankan cukup mendalam.
Saya meninggalkan dompet di dalam kereta. Pintu juga tidak dikunci dek kerana keyakinan bahawa persekitaran itu selamat. Terbiasa.
            “Jangan terbawa-bawa tabiat ini sampai ke Malaysia sudahlah ya,” sahabat saya Asyikin berseloroh sambil memulas botol Double Espresso yang dingin. Saya mengangkat kening tanda kurang faham.
            “Kenapa Ikin?” kami masuk semula ke dalam perut kereta. Sahabat saya yang lain, Ain pun berminat menyertai perbincangan. Enjin kereta belum dihidupkan agar angin luar dapat dinikmati dengan tenang.
            “Jenayah di negara kita semakin dasyat. Pantang ada peluang, pasti ada yang menjadi mangsa samun, culik, rogol. Ada satu kes, penjenayah masuk ke dalam kereta wanita ketika dia sedang membuat bayaran di kaunter stesen minyak,” saya yang sedang asyik menghirup jus oren tiba-tiba terhenti.
            “Fadzilah pernah cerita pada Ikin. Ada seorang lelaki sedang isi minyak motor dan selepas itu ada orang menahannya agar diserahkan motor. Nampak dalam video itu seperti dia bergelut keseorangan. Tetapi setelah diperiksa semula dalam rakaman CCTV, rupa-rupanya ada sekumpulan orang ramai hanya berdiri dan memandang sahaja peristiwa itu tanpa bertindak. Kemana sifat kemanusiaan mereka Aini?” saya terdiam.
            Dimana nilai kemanusiaan masyarakat kita? Adakah terhakis sedikit demi sedikit saban hari tanpa mengetahui apa puncanya? Kadang-kadang saya tidak menafikan perasaan takut untuk kembali ke Tanah Air tetapi disitulah tanah tumpah darah dan seharusnya nilai Islami tidak merekah. Sungguh kita harus berbuat sesuatu. Teliti dari akar umbi, dimana harus bermula implimentasi?

NILAI ISLAMI MELANGKAUI BUMI
Dan begitulah saya mengutip sedikit demi sedikit nilai Islami yang ada dalam kalangan masyarakat yang belum mengenal Islam – Berhemah di jalanraya, mengikut peraturan, tidak menghukum membuta tuli dan juga sabar. Semua ini saya belajar dari mereka.
            Alangkah indahnya jika semua nilai ini dipraktikkan dengan sesungguh-sungguhnya dalam kalangan masyarakat Islam sendiri, khususnya dalam negara Islam seperti Malaysia. Kadangkala saya malu dengan diri sendiri. Sedar atau tidak, kita sebenarnya terperangkap dalam satu pemikiran dimana orang yang berbuat baik akan mudah diambil kesempatan oleh orang lain. Apa yang paling menyedihkan adalah sikap ini turut menular dalam generasi pendakwah muda. Sikap buruk sangka berleluasa apatah lagi jika mengetahui ada individu yang tidak sefikrah dan ‘sekepala’ dengan perjuangan yang mereka namakan sendiri.
            Astaghfirullah!

            Seharusnya orang yang menggelarkan dirinya mujahid dan mujahidah harus membuka minda agar skop perjuangan bukan sekadar untuk menarik orang lain ke arah keindahan Islam dan beribadah semata-mata. Mujahid dan mujahidah seharusnya mempamerkan dan menonjolkan keindahan nilai Islam itu sendiri dan bukan sekadar kata-kata dibibir semata.
             
           Berapa ramai yang mampu menzahirkan nilai Islam itu dan masuk ke dalam 

masyarakat umum berbanding yang terus menerus berada dalam kelompok selesa sesama 

orang ‘baik’ untuk mengekalkan rasa ‘selamat’? 

Fikir-fikirkan.

2 comments:

Adil Almi said...

kenapa gambar itu seperti aku..hik3

PuriDunia said...

https://puridunia.com/