CUACA TAK
TERJANGKAKAN
SAYA masih bergelut
dengan perubahan cuaca yang tidak menentu sementelah musim luruh makin
menghampiri. Rintik hujan datang sekejap-sekejap dan kemudian timbul matahari
memanaskan bumi. Jaket yang dipakai ditanggalkan tetapi beberapa jam kemudian
angin berpiuh dingin dan meresap ke tulang. Jaket dipakai semula. Begitulah
Sydney dalam permainan cuaca yang tidak terjangkakan. Namun atas penerangan
dari kakak-kakak senior, peralihan musim selalunya merupakan antara faktor
cuaca berubah-ubah sepanjang hari. Namun saya pasti Tuhan sudah merencanakan
sesuatu yang bermakna buat hambaNya. Terpulang pada hamba-hambaNya sama ada
mahu ikhlas menerima kehidupan dengan cara yang mereka pilih.
Hari ini saya
berjalan kaki ke pusat membeli-belah Macquarie Center yang terletak agak jauh
juga dari Macquarie Village dimana terletaknya rumah saya disitu. Berjalan kaki
menelusuri rumah-rumah berbata merah disepanjang lorong-lorong kecil yang
dipenuhi dengan daun-daun mapel kering itu menerbitkan satu ketenangan dalam
jiwa. Sengaja saya perlahankan langkah
untuk melihat longgokan daun-daun mapel kering yang sudah pun berwarna coklat
pekat. Serasa seperti dalam filem Mohabbatein pula.
PENGGUNA JALAN RAYA
Saya terus berjalan sehingga bertemu jalan raya. Tanpa diarah, saya
berhenti dipinggir jalan dan melihat kiri dan kanan. Jangkaan saya seperti
biasa yang biasa dilakukan di Tanah Air tercinta. Pejalan kaki akan menunggu
kereta melepasi mereka sebelum melintas, apatah lagi jalan raya yang tidak
mempunyai lampu isyarat. Namun hari itu saya seakan terpaku seketika apabila
kereta yang dipandu dijalan raya Australia berhenti dan memberikan laluan .
Biarlah lambat atau cepat manapun kita berjalan, pemandu akan menunggu sehingga
semua pejalan kaki selamat sampai keseberang.
Mungkin ada yang akan berkata begini,
“Bukankah itu sistem, mestilah rakyatnya akan patuh!”
“Alah, itu sebab mereka sudah biasa,”
“Ingat mudahkah hendak beri jalan kepada orang? Nanti yang lain pijak
kepala,”
Jika kerana sistem, adakah kita semua akan benar-benar mengikut sistem
jika ia diimplimentasikan? Kenapa harus dipersoalkan kebiasaan atau bukan
kebiasaan orang setempat untuk melakukan nilai-nilai murni apatah lagi
nilai-nilai Islami? Kenapa perlu risaukan orang lain menganiaya kita andai kita
berbuat kebaikan di jalan raya atau dimana sahaja sekalipun?
Saya berpeluang memandu kereta di sekitar Sydney dan Melbourne sepanjang
kembara di bumi Selatan.
Subhanallah! Rasa
sungguh selamat sekali hingga tidak tersedarkan saya sedang memandu di sebuah
bandar besar dalam negara asing. Pemandunya sungguh bertoleransi. Tidak ada
situasi berbalas-balas hon malah sungguh ramai yang baik hati memberikan jalan
jika ada yang memberi signal.
Saya masih ingat ketika
memandu berhampiran dengan kawasan Kingsford bersama sahabat-sahabat. Waktu itu
jam sudah menunjukkan pukul sembilan malam. Sahabat-sahabat yang turut bersama
panik tiba-tiba kerana GPS yang kami gunakan tidak berfungsi. Pemanduan saya
jadi tidak tentu hala. Kebimbangan mula bercambah kerana laluan untuk kembali
ke Macquarie masih jauh.
“Allah! Kenapa semua
kereta menghala ke arah bertentangan?” peluh dingin merenik di dahi saya.
Sahabat baik saya, Izzaty menoleh-noleh ke luar tingkap kereta.
“Ini jalan sehala!
Bahaya, berhenti Aini. Pusing balik, pusing balik!” Izzaty separuh menjerit.
Saya menarik nafas dalam-dalam. Tangan saya menggeletar. Kebimbangan berlaku
kemalangan dan ketakutan dimarah pengguna jalan raya lain berselirat dalam
kepala saya setelah peka kereta itu kami sewa bersama-sama.
“Allah, kalau tidak
berhenti bahaya. Kalau berhenti tiba-tiba pun bahaya. Apa yang harus aku buat?”
saya hampir menangis. Saya mula membayangkan bunyi-bunyi hon yang kuat dan
kata-kata kesat.
SANGKAAN MELESET
“Eh!” dahi saya berkerut
apabila kereta dihadapan dan dibelakang kereta kami memberikan isyarat
berhenti. Jalan yang sesak itu menjadi kaku seketika, seolah-olah menunggu saya
untuk membuat pusingan agar keluar dari jalan sehala itu.
Cepat-cepat saya membuat
pusingan dan mengangkat tangan tanda terima kasih setelah selesai melakukannya.
Tiada riak marah pun pada wajah mereka. Betapa leganya hati saya ketika itu.
Teingat saya ketika
memandu bersama Abah di Malaysia ketika pulang bercuti musim panas. Saya memandu
seprti biasa hinggalah sebuah kenderaan dari lorong sebelah kanan memberi
isyarat hendak keluar. Kereta-kereta dari arah saya bertali-arus tanpa henti. Saya
tebak si pemandu mungkin sudah lama menunggu. Tanpa dipinta, saya memperlahankan
kereta dan memberi lalun kepada kereta itu. Mungkin kerana sudah terbiasa
dengan budaya jalan raya di Sydney, saya berbuat demikian. Pemandu kereta itu
berpaling ke arah saya dan Abah lalu melemparkan senyuman.
Saya sudah menjangka,
Abah mempersoalkan tindakan saya. Saya menerangkan kepada Abah tentang suasana
jalan raya di Sydney dan Abah mengangguk-angguk lama.
“Ini Malaysia along,
susah kalau kita seorang sahaja yang berfikir begitu sedangkan orang lain
tidak,” saya teliti setiap kata-kata Abah.
Abah tidak bersalah. Dia
punya sebab untuk berujar seperti itu sementelah dia lebih banyak makan garam
berbanding saya. Tetapi adakah kita, yang menggelarkan diri sebagai pendakwah,
pencinta ilmu dan pelakar transformasi mahu membiarkan pemikiran kita terjajah
oleh budaya negatif seperti ini dan selama-lamanya mengenepikan nilai-nilai
Islami dalam kehidupan sehari-hari?
Teman-teman, dibumi ini
kita berpijak dan perjuangkanlah Islam dari segenap sudut yang tersedia,
sistemnya, budayanya, orangnya, ayuh kita usaha!
REALITI YANG MENAKUTKAN
Sewaktu singgah untuk
mengisi tangki minyak kereta di sebuah stesen minyak di Newcastle, saya dan sahabat-sahabat
mengambil peluang membeli minuman untuk membasahkan tekak yang kering setelah
menempuh perjalanan dua jam dari Taree dan
juga perjalanan menaiki tren dari Macquarie selama tiga jam. Bandar Newcastle tidak
sesak seperti Sydney. Newcastle tambah berseri dengan pantai-pantainya yang cantik
seperti Nobbys dan Mereweather. Ramai juga pelajar Malaysia yang mengambil jurusan
perubatan di Universiti Newcastle. Universiti itu cukup unik kerana bangunan
yang dibina tidak boleh dibina melebihi ketinggian pokok. Betapa kecintaan
terhadap alam sekitar ditekankan cukup mendalam.
Saya meninggalkan dompet di dalam kereta. Pintu juga tidak dikunci dek
kerana keyakinan bahawa persekitaran itu selamat. Terbiasa.
“Jangan terbawa-bawa
tabiat ini sampai ke Malaysia sudahlah ya,” sahabat saya Asyikin berseloroh
sambil memulas botol Double Espresso
yang dingin. Saya mengangkat kening tanda kurang faham.
“Kenapa Ikin?” kami
masuk semula ke dalam perut kereta. Sahabat saya yang lain, Ain pun berminat
menyertai perbincangan. Enjin kereta belum dihidupkan agar angin luar dapat
dinikmati dengan tenang.
“Jenayah di negara kita
semakin dasyat. Pantang ada peluang, pasti ada yang menjadi mangsa samun,
culik, rogol. Ada satu kes, penjenayah masuk ke dalam kereta wanita ketika dia
sedang membuat bayaran di kaunter stesen minyak,” saya yang sedang asyik menghirup
jus oren tiba-tiba terhenti.
“Fadzilah pernah cerita
pada Ikin. Ada seorang lelaki sedang isi minyak motor dan selepas itu ada orang
menahannya agar diserahkan motor. Nampak dalam video itu seperti dia bergelut
keseorangan. Tetapi setelah diperiksa semula dalam rakaman CCTV, rupa-rupanya
ada sekumpulan orang ramai hanya berdiri dan memandang sahaja peristiwa itu
tanpa bertindak. Kemana sifat kemanusiaan mereka Aini?” saya terdiam.
Dimana nilai kemanusiaan
masyarakat kita? Adakah terhakis sedikit demi sedikit saban hari tanpa
mengetahui apa puncanya? Kadang-kadang saya tidak menafikan perasaan takut
untuk kembali ke Tanah Air tetapi disitulah tanah tumpah darah dan seharusnya
nilai Islami tidak merekah. Sungguh kita harus berbuat sesuatu. Teliti dari
akar umbi, dimana harus bermula implimentasi?
NILAI ISLAMI MELANGKAUI BUMI
Dan begitulah saya mengutip sedikit demi sedikit nilai Islami yang ada
dalam kalangan masyarakat yang belum mengenal Islam – Berhemah di jalanraya,
mengikut peraturan, tidak menghukum membuta tuli dan juga sabar. Semua ini saya
belajar dari mereka.
Alangkah indahnya jika
semua nilai ini dipraktikkan dengan sesungguh-sungguhnya dalam kalangan
masyarakat Islam sendiri, khususnya dalam negara Islam seperti Malaysia. Kadangkala
saya malu dengan diri sendiri. Sedar atau tidak, kita sebenarnya terperangkap
dalam satu pemikiran dimana orang yang berbuat baik akan mudah diambil
kesempatan oleh orang lain. Apa yang paling menyedihkan adalah sikap ini turut
menular dalam generasi pendakwah muda. Sikap buruk sangka berleluasa apatah
lagi jika mengetahui ada individu yang tidak sefikrah dan ‘sekepala’ dengan
perjuangan yang mereka namakan sendiri.
Astaghfirullah!
Seharusnya orang yang
menggelarkan dirinya mujahid dan mujahidah harus membuka minda agar skop
perjuangan bukan sekadar untuk menarik orang lain ke arah keindahan Islam dan
beribadah semata-mata. Mujahid dan mujahidah seharusnya mempamerkan dan
menonjolkan keindahan nilai Islam itu sendiri dan bukan sekadar kata-kata
dibibir semata.
Berapa ramai yang mampu menzahirkan nilai Islam itu dan masuk ke dalam
masyarakat umum berbanding yang terus menerus berada dalam kelompok selesa sesama
orang ‘baik’ untuk mengekalkan rasa ‘selamat’?
Fikir-fikirkan.
2 comments:
kenapa gambar itu seperti aku..hik3
https://puridunia.com/
Post a Comment